Promosi Bukit Fraser

Bagi mereka yang tinggal di kota besar, tempat pilihan pastinya kawasan yang bebas daripada kesesakan lalu lintas, malah ada yang sanggup memandu jauh keluar dari bandar untuk menghabiskan masa lapang pada hujung minggu di pusat peranginan terkenal atau berehat santai di tepi pantai.

Untuk mencari kelainan, apa kata percutian kali ini dihabiskan di kawasan tanah tinggi berudara sejuk di Bukit Fraser, Raub, Pahang yang menawarkan pelbagai tarikan untuk seisi keluarga menikmatinya.

Perjalanan menuju ke Bukit Fraser boleh memberi pengalaman baru kepada anak-anak muda untuk berpeluang melihat kehijauan hutan di negara ini, malah bagi mereka yang melalui jalan Kuala Kubu Bahru pula bakal disajikan pemandangan indah Empangan Sungai Selangor yang memukau.

Mungkin pendakian jalan berbengkang-bengkok selama kira-kira setengah jam akan merimaskan, tetapi sebaik tiba di puncak pusat peranginan tanah tinggi itu, anda akan disajikan dengan pemandangan menarik bunga-bungaan segar pelbagai warna di kiri kanan jalan, selain Menara Jam yang ada di pintu masuk utama Bukit Fraser, seakan mengalu-alukan kedatangan tetamu.
MERCU tanda jam
di Bukit Fraser.

Berada pada paras kira-kira 1,524 meter dari aras laut, Bukit Fraser yang bangunannya bercirikan senibina Eropah dan cuaca sejuk yang nyaman, menyediakan pelbagai kemudahan untuk melengkapkan percutian seisi keluarga.

Anak-anak muda pula boleh mengisi masa dengan menunggang kuda di The Paddock, menunggang motosikal mini, mencuba aktiviti memanah.

Lebih menggembirakan jika menghabiskan masa bersama menaiki bot diTasik Allan, melawat taman ros, merentas hutan atau berkelah di air terjun Jeriau yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar Bukit Fraser. AIR terjun Jeriau yang terdapat di Bukit Fraser.

Dengan suhu purata antara 21 hingga 23 darjah Celcius sepanjang tahun dan lebih sejuk ketika malam atau musim hujan, anak-anak semestinya menimba pengalaman baru mengenali pelbagai spesis pokok hutan di Bukit Fraser termasuk pelbagai jenis orkid dan periuk kera.

Lebih istimewa, Bukit Fraser memiliki lebih 250 spesis burung pelbagai warna yang mengeluarkan bunyi menarik, malah anak anda boleh melihat dan mendengar sendiri kicauan burung terutama ketika haiwan itu mencari makanan di sekitar lokasi khas yang disediakandi Bukit Fraser.

Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) turut menganjurkan Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa setiap tahun yang secara tidak langsung mempopularkan lagi kawasan peranginan itu ke seluruh dunia.

Paling menarik, kenderaan yang menuju ke Bukit Fraser perlu mematuhi jadual perjalanan yang ditetapkan ketika tiba di pintu kawalan dikenali sebagai Gap kerana jalan sehala saja akan dibuka bagi satu-satu perjalanan bagi mengelak berlaku kemalangan berikutan jalan sempit.

Bagi mereka yang ingin memasuki Bukit Fraser, laluan jalan itu dibuka pada jam 7 pagi, 9 pagi, 11 pagi, 1 petang, 3 petang dan jam 5 petang dengan setiap perjalanan mengambil masa 40 minit.

Jadual perjalanan keluar dari pusat peranginan tanah tinggi itu bermula jam 8 pagi, diikuti jam 10 pagi, 12 tengah hari, 2 petang, 4 petang dan 6 petang dan masa perjalanan juga mengambil tempoh 40 minit.

Bagaimanapun, selepas jam 7.30 malam, jalan itu akan dibuka untuk laluan kenderaan turun dan naik tanpa sebarang kawalan keselamatan.

Bukit Fraser menyediakan tempat penginapan pelbagai jenis termasuk hotel, resort, banglo dan pangsapuri dengan kebanyakan senibina bangunannya bercirikan Eropah dan kadar sewa berpatutan.

 

1 Response to Promosi Bukit Fraser

  1. KNt Says:
    xjak pon..
    huh